KREATIVITI




Pengenalan Kreativiti
# Setiap orang mempunyai potensi untuk menjadi lebih kreatif dan produktif, tetapi ianya bukanlah merupakan hak mutlak akan terjadi kepada semua orang. Ianya berkait rapat dengan idea, perasaan, pemikiran, pengalaman dan keinginan seseorang.

# Bagi seseorang artis, pemikiran kreatif (pemikiran tampak) yang kadang kala tidak menggunakan walau sepatah perkataan, merupakan satu prosedur atau kaedah yang perlu digunakan apabila melihat, berfikir atau belajar bagi mewujudkan idea.

# Seseorang yang kreatif lazimnya tidak hanya memaparkan secara langsung tentang apa yang di lihat atau di alaminya. Ia mungkin menggunakan metafora dan anologi memproses pengalaman tampak untuk dilahirkan ke dalam bentuk tampak yang baru.

# Menurut Helbert Read, kita tidak hanya mengajar kanak-kanak mengetahui, tetapi juga pada masa yang sama, mengajar mereka mencipta. Untuk mengetahui fakta (otak kiri) adalah suatu perkara dan menukarkan fakta kepada bentuk baru memerlukan keupayaan membuat metafora (otak kanan) adalah suatu perkara lain, yang merupakan fungsi pemikiran kreatif. Bagi mempertingkatkan daya kreativiti seseorang, pembelajaran dan pengalaman aktiviti pendidikan seni adalah diperlukan.

Definisi Kreativiti

# Menurut kamus Webster’s (1976) pemikiran kreatif ialah, “The ability to bring something new existence”. Definisi ini memperlihatkan kreativiti itu adalah kebolehan mewujudkan sesuatu yang baru sama sekali. Apabila direnung dan difikirkan secara mendalam, dapatkah manusia yang mempunyai sifat yang lemah mewujudkan sesuatu yang baru sama sekali, iaitu daripada tiada kepada ada. Definisi ini seolah-olah melambangkan sesuatu tingkah laku dan pemikiran manusia yang hebat, dapat melakukan apa saja yang diinginkan. Malah, dalam keadaan kritikal sekalipun, manusia masih dapat membuktikan kemampuannya.

# Kamus dewan (1993) memberikan maksud kreativiti sebagai kemampuan (kebolehan) mencipta daya kreatif, kekreatifan. Terdapat beberapa pendapat yang dikemukakan oleh pakar-pakar berhubung kreativiti. Mengikut Viktor Lowengfeld (1975), kreativiti ialah suatu naluri (instinct) semula jadi sejak lahir yang dimiliki oleh setiap orang. Naluri itu adalah faktor pertama digunakan bagi menyelesaikan atau membuat pernyataan tentang masalah kehidupan. Keinginan pula menjadi asas yang mendorong seseorang berupaya menyelidik dan meneroka sesuatu. Tanpa naluri dan keinginan, manusia tidak akan bertindak.

# Gilchrist menyatakan, kreativiti adalah keupayaan menghasilkan sesuatu yang baru dan menilai sama ada maujud ataupun tidak. (Leonard Yong,1994). Manakala, Paul Torrance (1974) memberikan definisi kreativiti sebagai proses yang mana seseorang menjadi peka terhadap masalah kekurangan, jurang pengetahuan, unsur-unsur yang hilang, ketidakharmonian dan sebagainya; mengenal pasti perkara-perkara yang sukar, mencari penyelesaian, membuat tekaan atau membentuk hipotesis tentang kekurangan-kekurangan itu, menguji dan mengkaji semula hipotesis-hipotesis ini dan memungkinkan pengubahsuaian dan mengujinya semula dan akhir sekali menyalurkan keputusannya kepada orang lain (Leonard Yong,1994).

# Bagi June King McFee pula, beliau berpendapat bahawa kreativiti adalah keupayaan mencipta perlambangan dan idea baru bagi memperkemaskini idea yang ada. Aktiviti menyusun dan mengolah semula organisasi yang sedia ada dan mantap kepada sesuatu organisasi yang baru dianggap sesuatu kreativiti.

# Kajian Fryer dalam tahun 1989 (Fryer 1996) telah mendapat respons tentang maksud kreativiti. Antara maksud yang diberi ialah kreativiti adalah sesuatu yang asli, satu proses separa sedar, sesiapa sahaja boleh menjadi kreatif tetapi tidak semua orang kreatif, kreativiti melibatkan pemikiran dan khayalan dan kreativiti adalah kebolehan untuk melihat sesuatu dalam cara yang berbeza, untuk mencari kepuasan dalam membuat atau menghasilkan sesuatu dan memerlukan ketekunan sehingga terhasilnya suatu produk.

# Viktor Lowenfeld dan Brittain (1982) menjelaskan, kreativiti berkait dengan suatu garis panduan atau prinsip yang perlu diikuti oleh seseorang iaitu menghasilkan atau memikirkan sesuatu yang baru, berbeza dan hasil yang unik, melalui proses pemikiran bercapah, motivasi yang tinggi, sentiasa mempunyai bentuk pemikiran yang terbuka, hasil yang tidak diduga, galakan memperkembangkan dan meningkatkan idea sendiri, kelainan, unik, individual dan keaslian, berlaku proses pemikiran kreatif, mementingkan proses dan bukan hasil, kekuatan pengetahuan dan kemahiran, keinginan meneroka sendiri, mampu mengkritik, menilai, idea dan subjek dimanipulasikan serta dikaji, teliti menggunakan langkah-langkah perkembangan kreatif : sumbang saran, penggunaan baru, adaptasi, modifikasi, magnifikasi, penyusunan semula, pengunduran, membuat penyenaraian dan dimensi lain (analogi).

# Edward De Bono (1992), menyatakan bahawa menjadi kreatif bermaksud mewujudkan sesuatu yang belum pernah ada iaitu sesuatu yang baru dan mempunyai nilai. Sesuatu hasil yang kreatif sepatutnya tidaklah mudah atau merupakan sesuatu yang biasa. Ianya mesti merupakan sesuatu yang unik dan jarang ditemui.

# Dunn (1992), mengatakan bahawa kreativiti ialah keupayaan untuk menjana idea baru, melihat masalah dari sudut yang baru dan mengambil risiko dalam mencuba sesuatu yang tidak pernah dicuba sebelumnya. Kreativiti berkait rapat dengan pengetahuan, kemahiran asas dan pemikiran kritis dan ianya boleh difahamkan sebagai penggunaan pengetahuan dan maklumat dengan cara baru.


RUJUKAN:
Apa Itu Kretiviti. Diperolehi pada 8 Mac ,2011. Daripada
http://muassasah.wordpress.com/2007/03/14/apa-itu-kreativiti/
Kepentingan Kretiviti dalam Pendidikan. Diperolehi pada 8 mac, 2011. Daripada
http://chikya87.blogspot.com/2010/04/kepentingan-kreativiti-dalam-pendidikan.html